Patani, hilangnya sebuah kerajaan melayu
Bagi sesetengah orang, Patani mungkin hanya sebuah nostalgia negeri Melayu. Orang-orang yang memerhatikan peta Asia Tenggara sekarang akan mengetahui bahawa sebuah negeri Islam yang dulu berjaya kini telah hilang dan tinggal kenangan.
Berbeza dengan nasib negeri lainnya seperti Bosnia, Kashmir, Chechnya atau Palestin yang tak pernah sepi dari berita. Patani ditakdirkan telah menjadi sebuah negeri yang dilupakan orang, sepi dan tidak diendahkan. Namanya hanya terdapat pada peta dan dokumen lama sahaja. Demikian juga dengan orang Patani, hilang dan tak dikenali.
Patani yang dimaksud dalam tulisan ini bukanlah Changwad atau wilayah Patani sebagaimana yang terdapat dalam peta negara Thailand sekarang, tetapi lebih kepada sebuah negeri yang sempadannya lebih luas yang meliputi wilayah-wilayah Narathiwat (Teluban), Yala (Jalor) dan sebahagian Singgora (Songkla, daerah-daerah Sebayor dan Tibor) bahkan Kelantan, Kuala Trengganu dan Pathalung (Petaling).
Patani itu Langkasuka
Negeri Patani memiliki sejarah yang cukup lama, jauh lebih lama daripada sejarah negeri-negeri di Semenanjung Melayu seperti Melaka, Johor dan Selangor. Sejarah lama Patani merujuk kepada kerajaan Melayu tua pengaruh Hindu-India bernama Langkasuka sebagaimana dikatakan oleh seorang ahli antropologi sosial di Prince of Songkla University di Patani, Seni Madakakul bahawa Langkasuka itu terletak di Patani. Pendapat beliau ini didukung oleh ahli sejarawan lainnya seperti Prof. Zainal Abidin Wahid, Mubin Shepard, Prof. Hall dan Prof. Paul Wheatly.
Lebih jauh bahkan Sir John Braddle menegaskan bahawa kawasan timur Langkasuka meliputi daerah pantai timur Semenanjung, bermula dari Singgora, Patani, Kelantan sampai ke Terengganu, termasuk juga kawasan sebelah utara negeri Kedah (M. Dahlan Mansoer, 1979).
Dalam buku sejarah negeri Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa, ada menyebutkan bahawa negeri Langkasuka terbahagi kepada dua: Sebahagian terletak di negeri Kedah iaitu terletak di kawasan tebing sungai Merbok. Sebahagian lainnya terletak di sebelah timur Kedah, iaitu di pantai Laut China Selatan. Dalam hal ini Prof. Paul Wheatly tanpa ragu mengatakan bahawa Langkasuka terletak di Patani sekarang. Pendapat beliau dikuatkan dengan penemuan kepingan batu-batu purba peninggalan kerajaan Langkasuka di daerah Jerang dan Pujud (nama-nama kota pada masa itu). Kononnya menurut buku Negarakertagama, Jerang atau Djere merupakan ibu kota Langkasuka.
Sedangkan asal usul orang Patani menurut para antropolog berasal dari suku jawa melayu. Sebab ketika itu suku inilah yang mula-mula mendiami Tanah Melayu. Kemudian kedatangan pedagang Arab dan India yang mendiami dan berkahwin dengan orang tempatan sehingga menurunkan keturunan Melayu Patani di selatan Thai sekarang.
Tanah Melayu telah didatangi pedagang dari Arab, India dan China sejak sebelum masihi lagi. Seorang pengembara China menyebut, bahawa ketika kedatangannya ke Langkasuka pada tahun 200 masihi, ia mendapati negeri itu telah lama dibuka.
Pengaruh Sriwijaya
Sebelum menjadi negeri Islam, Patani (Langkasuka) dikenali sebagai kerajaan Hindu Brahma. Rajanya yang terkenal adalah Bhaga Datta (515 M) yang bererti "pembawa kuasa". Ketika kerajaan Sriwijaya di nusantara berjaya menakluki Ligor (sekarang Nakorn Sri Tammarat) pada 775 M dan kemudian mengembangkan kekuasaannya ke selatan (Patani), mulailah penduduk Patani meninggalkan agama Hindu dan memeluk Buddha. Sebuah berhala Buddha zaman Sriwijaya yang ditemui dalam gua Wad Tham di daerah Yala membuktikan pertukaran agama tersebut.
Di bawah pemerintahan Sriwijaya inilah Patani mula berkembang maju dan terkenal. Hasil negeri Patani pada waktu itu kebanyakannya berupa pertanian dan perniagaan. Teknik membajak dan berdagang pula diterima oleh orang Patani dari orang Jawa. Kerajaan Sriwijaya inilah juga yang membawa dan mengembangkan bahasa Melayu ke Patani.
ufti yang besar diberikan setiap tahun kepada kerajaan Sriwijaya menunjukkan bahwa Patani ketika itu kaya dan makmur.
Memeluk Islam
Tidak diketahui bila masyarakat di Patani mula memeluk Islam, namun jika dilihat dari kebanyakan karya sastera sejarah yang merujuk kepada Teeuw dan Wyatt, juga W.K Che Man maka dapat diperkirakan bahawa Patani menjadi negeri Islam pada tahun 1457 (Martinus Nijhoff, 1970).
Seperti tertulis dalam buku-buku sejarah. Dikisahkan pada waktu itu Patani (Langkasuka) diperintah oleh raja Phya Tu Nakpa. Raja dikhabarkan menderita sakit yang melarat. Beliau mendengar ada seorang tabib, syeikh Said, seorang Muslim, yang mampu menyembuhkan sakitnya. Tabib tersebut sanggup mengubati penyakit Raja dengan syarat jika sembuh dari sakitnya maka Raja harus memeluk Islam. Namun Raja Phya Tu Nakpa memungkiri janji setelah sembuh. Akhirnya Raja sakit kembali. Kejadian ini berulang sehingga tiga kali. Pada kali ketiga inilah Raja bertaubat.
Setelah Raja sembuh dari sakitnya, beliau bersama keluarga dan pembesar istana memeluk Islam. Raja Phya Tu Nakpa menggantikan namanya menjadi Sultan Ismail Shah. Sejak saat itu Islam mula berkembang dan pengaruh Hindu-Budha mula berkurangan, lemah dan akhirnya hilang dari Patani.
Raja Phya Tu Nakpa (Sultan Ismail Shah) juga dikenali sebagai pengasas negeri Patani. Beliaulah yang menggantikan nama kerajaan lama menjadi Patani yang bererti "Pantai Ini". Kerana beliau secara kebetulan telah bertemu suatu tempat yang indah dan baik untuk dijadikan negeri di tepi pantai. Riwayat lain mengatakan Patani berasal dari perkataan "Pak Tani" iaitu pemilik pondok (seorang petani garam) ditepi pantai yang ditemui oleh Raja ketika beliau meneroka mencari kawasan baru untuk di jadikan negeri.
Setelah berpindah ke Patani, Patani menjadi sebuah tempat yang pesat membangun kerana lokasinya yang baik, tempat baru ini menjadi makmur dan mewah. Patani menjadi daya tarikan saudagar-saudagar dari timur seperti Jepun, China, Siam dan Eropah. Dicatatkan pada 1516 kapal dagang Portugis singgah buat pertama kalinya di pelabuhan Patani. Pinto, seorang saudagar dan penjelajah dari Portugis menyatakan: "Pada masa saya datang ke Patani pada tahun itu saya telah berjumpa hampir 300 orang Portugis yang tinggal di pelabuhan Patani. Selain dari Portugis terdapat juga bangsa-bangsa timur seperti Siam, China dan Jepun. Orang-orang Jepun juga giat berniaga di pelabuhan ini."
Penaklukkan Siam
Sepeninggalan Sultan Ismail Shah, puteranya iaitu Sultan Muzaffar Shah, diangkat menjadi Sultan Patani. Selain meneruskan dan memajukan negerinya, Sultan Muzaffar Shah sering melakukan lawatan ke negara jiran seperti Melaka dan Siam. Namun dalam lawatan ke Siam (sekarang Thailand) beliau dilayan dengan buruk oleh Raja Siam. Raja Siam berasa lebih tinggi darjat dan kedudukannya daripada Sultan Patani. Kelakuan ini menimbulkan perasaan hina dalam jiwa Sultan Muzaffar.
Ketika mengetahui kerajaan Siam diserang oleh Burma pada 1563, Sultan Muzaffar Shah bersama adiknya Sultan Mansyur Shah menggunakan peluang ini untuk menyerang Siam. Dengan mengerahkan 200 kapal perang dan ribuan pasukan, Siam akhirnya jatuh ke tangan Sultan Muzaffar pada tahun itu juga.
Akan tetapi tidak lama kemudian, Sultan Muzaffar meninggal secara mendadak di muara sungai Chao Phraya dan dimakamkan di sana. Sebelum meninggal Sultan Muzaffar memandatkan kekuasaan kepada adiknya, Sultan Mansyur Shah. Hal ini dilakukan kerana sehingga akhir hayatnya Sultan Muzaffar tidak mengetahui bahawa permaisurinya sedang hamil. Sekalipun Sultan Muzaffar mempunyai anak dari dayangnya (Pengiran Bambang), namun dalam tradisi pewarisan tahta di kerajaan Melayu tidak mengambil kira calon Raja dari anak dayang. Oleh itu adiknya (Sultan Mansyur Shah) ditabalkan menjadi Sultan Patani sehingga akhir hayatnya (1564-1572).
Sebelum meninggal, Sultan Mansyur Shah telah berwasiat agar anak saudaranya -- anak Sultan Muzaffar Shah -- iaitu Patik Siam (10 th), pewaris sah kesultanan, dilantik menggantikan dirinya. Namun perlantikan ini menimbulkan rasa benci dan dengki dari Pangiran Bambang (anak Raja dari dayang). Para ahli sejarah menyatakan bahawa peristiwa ini merupakan titik awal perselisihan dan perebutan kuasa dalam istana. Antara tahun 1573-1584 merupakan tahun-tahun penuh pergolakan dalam kesultanan Patani. Dicatatkan dua kali terjadinya perebutan kuasa disertai pembunuhan yang semuanya melibatkan anak-anak dari dayang dayang (anak Raja yang bukan dari permaisuri).
Kejayaan dan Kejatuhan
Patani mencapai zaman keemasannya ketika diperintah oleh empat orang Ratu iaitu Ratu Hijau (1584-1616), Ratu Biru (1616-1624), Ratu Ungu (1624-1635) dan Ratu Kuning (1635-1651).
Patani pada zaman pemerintahan ratu-ratu sangat makmur dan kaya. Kekuasaannya luas sehingga ke Kelantan dan Terengganu malah terkenal dengan sebutan Negeri Patani Besar. Kecuali Johor, tidak ada negeri lain di belahan timur Tanah Melayu yang memiliki kemakmuran dan kekuatan sehebat Patani ketika itu.
Kekuatan negeri Patani digambarkan dari kemampuannya mematahkan empat kali serangan kerajaan Siam pada 1603, 1632, 1634 dan 1638. Patani memiliki 3 buah meriam besar yang sangat masyhur iaitu Seri Negara, Seri Patani dan Mahalela. Mampu mengerahkan 180,000 pasukan tempur dan dikuatkan dengan sebuah benteng yang terkenal iaitu Benteng Raja Biru.
Tetapi, kejayaan ini hanya dapat bertahan selama 67 tahun. Ketika Ratu Kuning meninggal pada tahun 1651, Patani mengalami proses kemerosotan secara politik, ketenteraan dan ekonomi. Patani hanya mencatat kemajuan ketika dipimpin oleh Raja Sakti I dan Raja Bahar yang mampu menyatukan Singgora (Songkla) dan Pathalung.
Pada akhir abad ke-17, Patani mula kehilangan era keemasannya. Tiada peperangan dengan Siam, yang merupakan musuh tradisi, sehingga menjelang kejatuhannya (hampir satu abad) menyebabkan negeri Patani Besar yang bersatu (meliputi Kelantan, Terengganu, Patani Awal, Singgora dan Pathalung), perlahan-lahan mula terpisah. Perang terakhir yang melibatkan Patani - Siam terjadi pada 1638. Sejak itu tidak ada lagi peperangan di antara kedua negara.
Kekuatan politik dan daya tarikan pelabuhannya sebagai pusat dagangan utama juga semakin mundur dan muncul pusat-pusat dagangan yang baru seperti Johor, Melaka, Aceh, Banten dan Batavia (Jakarta).
Sebagai negara perairan, ekonomi Patani sangat bergantung pada perniagaan. Kemerosotannya pada bidang ini telah menyebabkan ekonomi Patani merundum. Maka boleh dikatakan, sejak awal abad ke-18, pelabuhan Patani hanya sebagai tempat persinggahan sahaja, bukan lagi pusat dagangan dan perniagaan. Ditambah lagi faktor ketidak stabilan politik, perpecahan wilayah dan krisis pucuk pimpinan, maka Patani boleh dianggap seperti "Orang Sakit di Semenanjung Melayu".
Malang bagi Patani, dengan kemerosotan ini, Siam, di bawah pimpinan Panglima Taksin bangkit kembali dan berjaya mengusir Burma dari seluruh negeri. Sehingga ketika Patani lemah, Siam berjaya menakluknya pada 1785. Maka bermulalah, Patani berada dalam pemerintahan Siam. Bahkan pada 1909, ketika Perjanjian Bangkok antara Inggeris - Siam, Patani akhirnya diserap secara rasmi menjadi wilayah Siam yang kemudian mengubah namanya menjadi Thailand sehingga sekarang ini.
Sumber:
prawat patani