Sejarah Negeri Melaka
Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara di antara
tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah
kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409[1] apabila Parameswara
berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama
rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan
Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah
Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque
pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan
Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat
Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.
Menurut Sejarah Melayu, Parameswara yang dilahirkan sebagai
Dharmaraja adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan
Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bintan bernama
Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura
lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja
Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda
secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri
Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud “Yang Dipertuan kepada tiga
dunia” melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bintan dan
Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang
memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 –
1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 – 1399) dan yang terakhir
Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 – 1401). Pada 1401, kerajaan
Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang
Rajuna Tapa. Parameswara telah berjaya melarikan diri menuju ke pantai
barat Semenanjung Melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.
Menurut “Suma Oriental”, Parameswara ialah seorang raja Palembang
yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja
Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai
Mjeura (“orang yang berani”). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri
ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di
Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang
tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam
tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke
pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang
baru.
Menurut Sejarah Melayu (“Malay Annals”) yang dikarang oleh Tun Sri
Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi
diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat
yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka
cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara
berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik
seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di
Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu,
orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara
menjadi raja.
Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor
pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya.
Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau
memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas
menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara
menamakan tempat itu “Melaka”.
Perutusan pertama dari China yang diketuai oleh Laksamana Yin CHing
telah tiba di Melaka pada tahun 1403. Beliau telah memberi hadiah-hadiah
kebesaran daripada MAharaja Yung Lo kepada Parameswara sebagai tanda
persahabatan dengan negeri baru Melaka itu. Parameswara membalas
hadiah-hadiah kebesaran kepada Maharaja Yung Lo pada 1405.
Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dan telah menggelar diri
baginda sebagai Raja Iskandar Syah. Baginda telah berkahwin dengan
puteri Pasai, Indonesia. Pada tahun 1409 juga, Laksamana Cheng Ho telah
singgah di Melaka dalam rangka lawatan beliau untuk meneroka dunia. Pada
1411, Parameswara telah membuat pelayaran melawat negara China dengan
rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja
Ming, Yung Lo.
Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah
pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16.
Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan
berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan
rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang
berkata, “Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan
dunia” (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of
Venice.)
Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri
yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun
Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab,
India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah
keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan
Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan
Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.
Raja Iskandar Syah mangkat pada tahun 1414 dan diwarisi oleh anaknya,
Raja Megat Iskandar Syah 1414-1424, Baginda kemudian digantikan dengan
putera baginda, Sri Maharaja, yang kemudiannya mengambil gelaran “Sultan
Muhammad Shah” (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444,
beliau diganti oleh putera bongsunya dari isteri kedua baginda Puteri
Rokan, Raja Ibrahim. Disebabkan pemerintah sebenarny adalah oleh sepupu
Puteri Rokan, orang-orang besar Melaka tidak setuju dan telah membunuh
Raja Ibrahim dan dimakamkan dengan gelaran “Sultan Abu Syahid”.
Kekanda Raja Ibrahim, Raja Kassim anak isteri
pertama Tun Wati, menaiki takhta pada tahun 1445 dan memakai gelaran
“Sultan Muzaffar Syah” (1445-1456) menaiki takhta dan mengisytiharkan
Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar
oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan
Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu
beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat dua serangan
ke atas Melaka. Serangan pertama diketuai oleh Awi Chakra melalui darat
pada tahun 1445, tetapi telah ditewaskan oleh Tun Perak dan Tun Hamzah
(Tok Bongkok) tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Siam melancarkan
serangan kedua pada 1456 yang diketuai oleh Awi Dichu melalui laut, dan
sekali lagi Tun Perak telah berjaya menewaskan mereka dan kali ini,
dengan mudah. Selepas dua kekalahan di darat dan laut ini, Siam tidak
lagi mencuba untuk menyerang Empayar Melayu Melaka. Tun Perak telah
dijadikkan Bendahara dengan gelaran “Bendahara Paduka Raja”. Beliau
berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada
perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.
No comments:
Post a Comment